Tuesday, November 2, 2010

Kisah Busut

Orang Melayu sering mengingatkan kita tentang pantang larang terhadap busut.  Busut jantan dianggap mempunyai semangat ghaib, unsur mistik atau ada makhluk halus yang menjaganya.  Justeru anak-anak kecil dilarang bermain-main di sekitar busut.  Orang lelaki juga dilarang kencing atas busut kerana dikhuatiri kemaluannya akan menjadi buruk.  Pantang larang ini dikenakan untuk mengelakkan lelaki yang kencing atas busut ditegur makhluk halus atau penunggu busut itu.
BUSUT ANAI-ANAI
Busut ialah longgokan tanah di atas sarang semut.  Jenis semut itu dikenali sebagai anai-anai.  Anai-anai merupakan semut yang boleh menghasilkan telur sehingga 30ribu sehari. Permaisuri anai-anai boleh memilih untuk melahirkan anai-anai askar atau anai-anai pekerja.  Tanah busut anai-anai ini dianggap unik kerana teknologi aliran udaranya cukup panas tetapi lembab.  Itulah yang menyebabkan tanahnya sentiasa gembur. 
Anai-anai dianggap sebagai haiwan perosak hasil tanaman tetapi tidak semua anai-anai menjadi musuh kepada petani dan peladang.  Di ladang-ladang seperti ladang kelapa sawit, busut anai-anai tidak merosakkan tanaman tetapi membantu untuk proses penguraian bahan berkayu dalam tanah.  Secara tidak langsung, busut anai-anai memberi manfaat kepada kesuburan tanah.
Mengikut petua orang tua-tua juga, tanah busut bagus digunakan untuk mengawet telur asin.  Telur disalut dengan tanah busut beserta garam.  Menurut mereka, tanah busut mengandungi anti bakteria yang terhasil daripada air liur anai-anai.  Telur asin itu akan menjadi tahan lama. 

BUSUT BURUNG
Namun tidak semua busut dihasilkan oleh anai-anai.  Ada busut dihasilkan oleh burung yang digelar ayam tambun.  Tubuh burung ini lebih kecil daripada ayam kampung, beratnya tidak sampai satu kilogram, dan banyak dijumpai di Sabah dan Filipina.  Menurut kajian saintifik, ayam tambun mengamalkan monogami.  Apabila ayam tambun jantan telah menemui ayam tambun betina untuk dijadikan pasangan, kedua-duanya akan menjadi setia terhadap satu sama lain.  Ke mana-mana pergi akan berdua, mencari makan, mengais dan kemudian membina busut.
 Ibarat peribahasa ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’, begitulah resmi ayam tambun.  Biarpun bertubuh kecil, pasangan ayam tambun mampu membina busut yang seberat 3 tan dan ukurlilit antara 2 meter setengah hingga 40 meter.   Pasangan ayam tambun menghabiskan masa sehingga 5 jam sehari mengais tanah, pasir dan habuk kayu untuk membina busut.  Kedua-duanya menyiapkan busut itu selama 9 bulan iaitu tempoh yang sama untuk ayam tambun betina bertelur.  Ayam betina akan menggali lubang hingga ke tengah pusat busut.  Setelah bertelur, kedua-dua pasangan itu akan mengambus kembali lubang itu. 
Telur ayam tambun tidak perlu dieramkan kerana semua busut mempunyai suhu dalaman yang malar segar sehingga 34darjah selsius.  Kedua-dua ayam tambun akan sentiasa memeriksa suhu panas busut itu.  Jika suhu menurun, ayam tambun akan mengais daun dan ranting reput ke atas busut.  Jika suhu meninggi, akan dikais pula sampah ke atas busut.  Selepas tiga bulan, telur akan menetas.  Anak-anak ayam tambun akan berdikari untuk keluar dari dalam busut.  Ayam tambun tidak pernah kenal induknya kerana sebaik keluar dari busut, anak-anak ayam tambun akan terus terbang dan mencari makanan sendiri.
Berbeza dengan ayam tambun, burung Merak Pongsu menggunakan busut anai-anai untuk membuat sarang, bertelur, mengeram dan membiak.  Memandangkan serangga merupakan antara makanannya selain daun dan buah-buahan, kedudukan sarang itu amat sesuai kerana mudah bagi burung Merak Pongsu memakan anai-anai.
KEPERCAYAAN TENTANG BUSUT JANTAN
Terdapat dua gelaran ke atas busut iaitu busut jantan dan busut betina.  Bentuk busut jantan meruncing ke atas sedangkan busut betina tidak meruncing ke atas.  Busut jantanlah yang menjadi tabu dalam masyarakat Melayu.
Mengikut kepercayaan orang tua-tua, ada pantang larang tertentu jika mahu memburu ayam hutan.  Pemburu dilarang menembak ayam hutan yang sedang bertenggek di atas busut.  Dikatakan, ada jin yang menjaga ayam hutan itu.  Jika ayam itu ditembak, si pemburu akan mendapat musibah. 
Sebenarnya jika difikirkan dengan logik akal, ayam hutan memang suka bertenggek di atas busut kerana suka memakan anai-anai di dalam busut.  Mungkin juga, ayam yang dimaksudkan itu adalah ayam tambun.  Jika salah seekor ayam tambun ditembak, pastinya ayam yang tinggal akan berasa marah kerana kekasihnya dibunuh lalu berdoa kepada Tuhan.  Besar kemungkinan juga, orang tua-tua melarang memburu ayam yang bertenggek di atas busut kerana mereka tahu bahawa ayam tambun sedang bertelur atau sedang dalam proses hendak bertelur.  Pastinya, orang Melayu dahulu arif tentang alam dan haiwan.  Kepekaan mereka terhadap alam membuatkan terhasilnya pantang larang ini, demi menghormati lingkaran kehidupan haiwan.
Namun dalam pembinaan rumah Melayu, orang Melayu dilarang membina rumah di atas tanah yang berbusut dan beranai-anai.  Orang Melayu percaya, orang yang tinggal dalam rumah itu nanti akan hidup melarat seperti yang terdapat dalam ungkapan di bawah:
Tanah berbusut beranai-anai
Busutnya penjemput bala
Anai-anai penjemput hutang
Tak kering kain di pinggang
Tak bersiang tak bermalam

Dalam amalan ilmu hitam, orang yang hendak membela hantu raya perlu mencari busut jantan yang jauh daripada penglihatan orang ramai,untuk melakukan pemujaannya.  Dalam pemujaan pada tengah malam itu, sebiji telur mentah yang ditebuk dengan jarum beserta setitis darah dari jari kelengkeng perlu disediakan beserta dengan pulut kuning, sekapur sirih pinang, sebatang rokok daun dan sekepal nasi. Dahulu, orang memelihara hantu raya dengan tujuan supaya hantu raya dapat menjaga diri, keluarga, kebun ladang dan harta bendanya.  Sebenarnya, perbuatan ini menjadi syirik kerana menyekutukan Tuhan.

Ada peribahasa yang mengatakan, ‘busut juga yang ditimbuni anai-anai’.  Peribahasa ini bermaksud, orang yang sememangnya kaya semakin bertambah kekayaannya.  

No comments:

Post a Comment